Anda di sini :: Laman Utama :: Keluarga
Keluarga PDF Print Write e-mail


Kebanyakan rakyat menghargai kepentingan dan mengutamakan aspek kekeluargaan dalam kehidupan seharian. Ini adalah kerana institusi keluarga adalah asas yang paling penting di dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu, maju, sejahtera dan harmoni. Kekuatan istitusi keluarga dapat melahirkan kestabilan politik dan pembangunan negeri dan negara.

Lantaran peripentingnya peranan institusi keluarga, Kerajaan Negeri Melaka telah memperkenalkan perlaksanaan Program Rumahku Syurgaku (RKSK) yang telah dilancarkan oleh Y.A.B. Datuk Seri Hj. Mohd Ali Bin Rustam, Ketua Menteri Melaka, pada 5hb Ogos 2003. Program ini adalah teras utama di dalam merealisasikan aspirasi untuk menjadikan Negeri Melaka maju menjelang 2010 dengan satu dasar pembangunan yang seimbang di antara aspek jasmani dan rohani fizikal dan mental, serta duniawi dan ukhrawi.


Dalam melayari bahtera rumahtangga, kadangkala terasa bahagia dan kadangkala sebaliknya. Setiap manusia memerlukan ketenangan jiwa dan perasaan. ketenteraman hanya wujud dengan adanya satu unit keluarga yang sihat dari segi jasmani dan rohani, serta isteri yang bijak menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Suami pula menjadi tunggak sesebuah keluarga.

Kewajipan suami dalam rumahtangga antaranya:


  • Memberi nafkah sesuai dengan kemampuan dan menyediakan kediaman yang selamat dan sesuai untuk keluarga.
  • Bersikap adil terhadap isteri atau isteri-isteri dengan memberi layanan yang baik.
  • Memberi pengetahuan dan mendidik isteri mengenai hukum Islam di dalam hal-hal fardhu 'ain, fardhu kifayah dan amalan sunat.
  • Melindungi rumahtangga, isteri dan anak-anak daripada sebarang bahaya di dunia dan akhirat.
  • Memaafkan kesalahan isterinya apalagi terhadap isteri yang berbudi pekerti mulia.
  • Menunjukkan keindahan dan kebaikan di hadapan isteri kerana isterinya juga menyenangi apa yang disenangi oleh suaminya.
  • Membantu isteri dalam urusan rumahtangga terutama apabila isteri sakit atau sibuk dengan pekerjaannya.
  • Menjaga rahsia isteri
  • Melindungi isteri daripada api neraka
  • Menghormati dan melayan keluarga isteri dengan baik
  • Menyempurnakan mas kahwin isteri

Diantara kewajipan isteri ialah:


  • Memberi layanan dan taat setia kepada suaminya dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan Islam
  • Memelihara kesucian dirinya setiap masa terutama semasa suami tiada
  • Membuat sesuatu perkara yang besar atau mustahak dengan meminta izin suami sekalipun mengerjakan sesuatu yang sunat, lebih-lebih lagi seperi keluar rumah
  • Menyempurnakan kemahuan suaminya yang halal pada bila-bila masa
  • Memelihara segala amanah dan harta benda suami seperti menjaga hak milik sendiri
  • Menjaga kebersihan dan kesegaran diri serta berhias diri untuk suami
  • Memelihara rahsia pergaulan suami isteri dan tidak menceritakan kepada orang lain walaupun ibubapa sendiri, kecuali dalam keadaan tertentu yang boleh mendatangkan mudharat kepada isteri
  • Sentiasa menunjukkan perasaan yang baik dan menghormati suami
  • Melayan keluarga suami dengan baik

Tanggungjawab ayah dan ibu:


  • Memimpin keluarga mengikut hala tuju yang diredhai Allah S.W.T.
  • Melindungi keselamatan isteri dan anak-anak daripada pelbagai bahaya dan gejala negatif
  • Menyediakan segala keperluan asasi keluarga sama ada keperluan isteri atau anak iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal
  • Menyediakan peralatan yang sesuai untuk digunakan keluarga
  • Memberikan pendidikan duniawi dan ukhrawi
  • Memberi layanan yang adil dan saksama terhadap semua keluarga
  • Merancang masa hadapan anak-anak supaya menjadi anak-anak yang berjaya dan selamat di dunia dan akhirat

 Tanggungjawab anak:

  • Taat dan berbuat baik kepada ibubapa
  • Melaksanakan kewajipan terhadap Allah, keluarga dan masyarakat serta menjauhi maksiat
  • Menjaga nama baik keluarga
  • Menjadi anak-anak soleh
 
(dipetik dari buku Rumahku Syurgaku Modul 4: pengukuhan Institusi Keluarga dan Rumahtangga, cetakan ke-2)


Remaja adalah generasi yang bakal menerajui negara pada masa hadapan. Remaja cemerlang juga merupakan aset yang paling berharga bagi sesebuah negara. Kecemerlangan generasi baru ini akan dapat diwujudkan sekiranya golongan remaja ini tahu akan matlamat hidup mereka. Ibubapa merupakan tunggak dalam pembinaan, pembentukan dan pendidikan awal remaja iaitu pendidikan dari tahap bayi hingga ke peringkat remaja. Membezakan-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak Adalah menjadi tuntutan Islam supaya ibubapa sentiasa adil dalam memberi kasih sayang terhadap anak-anak. Pada kebiasaannya perbezaan kasih sayang itu adalah berdasarkan kepada pelbagai kelebihan yang tertentu yang terdapat dalam diri seseorang anak itu seperti kecantikannya, kepandaiannya, kerajinannya dan sebagainya yang boleh dibanggakan.

Antara kesan negatif akibat kesilapan ini:

  • Mewujudkan tekanan perasaan dalam diri anak-anak
  • Menimbulkan rasa permusuhan di kalangan anak-anak
  • Menjadi punca anak-anak lari dari rumah
  • Mengakibatkan  anak-anak terjebak dengan permasalahan sosial

Langkah-langkah positif:

  • Hayati bahawa perbuatan tersebut adalah ditegah
  • Ibubapa harus belajar menyelami hati dan perasaan anak-anak
  • Sentiasa yakin bahawa setiap anak-anak mempunyai sifat dan kelakuan yang berbeza
  • Sentiasa membantu anak-anak untuk menyerlahkan potensi diri mereka
  • Menyedari tentang kesan akibat kesilapan tersebut
  • Ibubapa harus menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak
Suka bertengkar di hadapan anak-anak: Adalah menjadi kesilapan sekiranya pertengkaran suami isteri diketahui oleh anak-anak mereka kerana ia boleh menimbulkan kesan negatif dalam diri mereka, antaranya:
  • Tekanan jiwa
  • Boleh mengganggu pelajaran anak-anak
  • Mewujudkan perasaan benci dan marah terhadap ibubapa
  • Anak-anak akan mewarisi perbuatan tersebut

Langkah-langkah positif
  • Ibubapa perlu mengelak daripada berlakunya pertengkaran dalam keluarga dan sekiranya berlaku, perlu dielakkan daripada bertengkar dihadapan anak-anak
  • Elakkan perbuatan menegakkan benang yang basah di hadapan anak-anak
  • Paparkan hidup secara berkasih sayang dan bertoleransi
  • Sekiranya wujud permasalahan dalam keluarga, selesaikan masalah secara damai
  • Sebaiknya menyembunyikan masalah daripada pengetahuan anak-anak
  • Hubungan di antara suami dengan isteri adalah rahsia
(dipetik dari buku Rumahku Syurgaku Modul 3: Pendidikan kanak-kanak dan remaja, cetakan ke-2)
 


Punca Kedinginan / Konflik Konflik rumahtangga atau syiqaq berpunca dari sebba-sebab berikut:
  • Kurang pengetahuan, amalan dan penghayatan agama
  • Tiada perasaan kasih sayang
  • Tumpuan yang berlebihan kepada kerjaya
  • Perasaan bosan di antara pasangan
  • Sikap negatif pasangan
  • Perselisihan faham yang berterusan
  • Komunikasi tidak berkesan
  • Orang ketiga
  • hasrat yang tidak tercapai
Antara panduan pengurusan konflik keluarga ialah:
  • Segera kenalpasti punca
  • Utamakan isu yang boleh diselesaikan
  • Tangani bersama konflik yang berlaku
  • Pilih cara yang boleh dilaksanakan
  • Bertindak secara rasional
  • Tidak mencari kesalahan dan kelemahan orang lain
  • Komunikasi berkesan
  • Dapatkan bantuan luar
  • Berdo'a
Kaedah menghadapi pertengkaran:
  • Jangan mencari kelemahan pasangan kita
  • Jika pertengkaran itu bersangkut tentang satu topik, janganlah masalah-masalah lain dimasukkan sama kerana ia akan menjadi suatu pertengkaran besar yang boleh membawa bencana.
  • Batasi kekasaran
  • Di dalam pertengkaran, gunakan bahasa yang sesuai agar pasangan tidak tertekan.
  • Setelah bertengkar, jangan suka menyendiri, kemudian menjauhi pasangan.
  • Jangan membiarkan pihak ketiga ikut serta dalam pertengkaran keluarga
  • Jangan bertengkar di depan anak-anak kerana ini akan menjadikan mereka bingung dan merasa tertekan.
(dipetik dari buku Rumahku Syurgaku Modul 4: Pengukuhan Institusi Keluarga dan Rumahtangga, cetakan ke-2)

Khidmat Kaunseling Walaupun setiap ahli keluarga mengimpikan kebahagian, namun hubungan yang dibina berasaskan saling hormat-menghormati mungkin tidak tercapai oleh sebahagian daripada kita. Bagi mereka yang menghadapi masalah keluarga, perundingan boleh diperoleh daripada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga atau daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam untuk orang Islam.

Walau bagaimanapun, jika perceraian berlaku, tanggungjawab penjagaan kanak-kanak, pengagihan harta dan tanggungjawab perkahwinan akan ditentukan oleh Mahkamah Sivil bagi pasangan bukan Islam atau Mahkamah Syariah bagi mereka yang beragama Islam.