| Perniagaan |
|
|
|
|
Mengapa Melabur di Melaka? Adakah anda berminat untuk melabur dalam bidang perindustrian, perdagangan atau pembangunan usahawan di negeri Melaka? Peluang anda cerah kerana Melaka mempunyai agensi yang boleh membantu anda melaksanakannya.
Kerajaan negeri Melaka mengalu-alukan sektor industri berteknologi tinggi untuk melabur di negeri Melaka kerana ia selaras dengan wawasan kerajaan negeri untuk mencapai status Negeri Maju 2010. Dengan adanya sektor industri seperti ini ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi pertumbuhan pesat ekonomi kerana penyertaan daripada para pelabur yang menanam modal besar di negeri ini.
Melaka telah mewartakan beberapa taman teknologi industri atau kawasan perindustrian mengikut sektor seperti automotif, komposit, pusat makanan halal, elektrik dan elektronik serta perabot. Melaka mempunyai sebanyak 22 kawasan industri yang dibangunkan oleh pihak swasta atau Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka. Di antaranya ialah Ayer Keroh (industri pelbagai), Batu Berendam (elektrik dan elektronik), Serkam (pusat makanan halal) dan lain-lain.
Pelbagai syarikat asing juga menjalankan operasi di negeri ini kerana kawasan perindustrian yang disediakan mempunyai infrastruktur bertaraf antarabangsa dan juga tenaga sumber tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mudah diperoleh. Di antara syarikat gergasi antarabangsa yang beroperasi di negeri Melaka adalah National Semiconductor (M) Sdn. Bhd. (Amerika Syarikat), Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. (Jerman), Panasonic Semiconductor Discrete Devices (M) Sdn. Bhd. (Jepun), Roxul Asia (M) Sdn. Bhd. (Denmark) dan banyak lagi.
Malaysia diletakkan di antara 20 negara teratas dalam senarai negara yang menarik untuk pelaburan terus asing (FDI) menurut Kaji Selidik Prospek Pelaburan Dunia 2007-2009 FDI oleh Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tentang Pembangunan dan Perdagangan (UNCTAD).
|