Sabtu, 27 April 2024 |

Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.

 

parameswara

Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.

hang tuah

Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.

Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.



Kronologi Negeri Melaka



Tahun 1396

 

Mengikut riwayat Sejarah Melayu, Parameswara merupakan putera raja Palembang kurun ke empat-belas yang melarikan diri dari musuhnya iaitu orang-orang Jawa. Baginda telah melarikan diri ke Temasik (sekarang dikenali sebagai Singapura) dan menjadikan dirinya sebagai raja. Tidak lama kemudian, baginda dihalau dari Temasik oleh penjajah dari Siam dan dengan pengikut-pengikutnya sampai ke pantai barat Semenanjung Tanah Melayu untuk mencari tempat untuk berselindung. Pada mulanya mereka menjadikan Muar, Johor sebagai tempat untuk bermastautin tetapi keadaannya tidak sesuai kerana terdapat terlalu banyak biawak. Baginda kemudian memilih tempat kedua untuk membina istana tetapi ianya tidak berkekalan.

Parameswara kemudian menjelajah ke tempat lain. Dalam satu rombongan memburu, baginda sampai ke sebuah sungai bernama Bertam. Di sana, beliau terlihat seekor kancil yang dikejar oleh anjing-anjing pemburu baginda telah menendang salah seekor daripada anjingnya jatuh ke dalam sungai. Baginda amat terkejut dengan keberanian kancil tersebut dan dengan serta-merta menamakan tempat tersebut dengan nama Melaka, sempena dengan nama pokok di mana baginda sedang berteduh.

Kesultanan Melaka memerintah negeri Melaka selama 110 tahun sehingga ditewaskan oleh pihak Portugis pada tahun 1511.



Kurun Ke-15

1400 - Parameswara, putera raja dari Palembang, setelah ditumpaskan oleh Majapahit menuju ke Temasik (nama asal Singapura) dan akhirnya membuka negeri Melaka.

1403 - Laksamana Yin Ching dalam misi perdagangannya telah singgah di Melaka dan menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan China - Melaka.

1405 - Parameswara menghantar utusannya ke China bagi mengukuhkan hubungan diplomatik yang sedia terjalin.

1409 - Laksamana Cheng Ho (Zheng He), ketua Armada perdagangan China dan para pembesar tiba di Melaka bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.

1411 - Parameswara diiringi pembesar Melaka dengan rombongan pengiring sebanyak 540 orang serta ditemani oleh Laksamana Cheng Ho belayar untuk melawat Yung Lo, Maharaja Dinasti Ming di Cina.

1414 - Parameswara berkahwin dengan Puteri Pasai. Baginda memeluk agama Islam dan memakai gelaran Sultan Iskandar Shah (1414-1424).

1424 - Parameswara mangkat dan anakandanya, Sri Maharaja, menaiki takhta dan menukar namanya menjadi Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Baginda telah memerintah mengikut ajaran Islam, mengasaskan etika istana dan menyebarkan Islam.

1444 - Raja Ibrahim, putera bongsu Sultan Muhammad Shah, menjadi pemerintah selepas kemangkatan ayahandanya.

1445 - Raja Ibrahim dibunuh dan dimakamkan dengan gelaran Sultan Abu Syahid.

1446 - Raja Kassim, kekanda Sultan Abu Syahid, menaiki takhta dan memakai gelaran Sultan Muzaffar Shah (1446-1458) dan mengisytiharkan Islam sebagai agama rasmi negeri.

1447 - Serangan Siam yang pertama ke atas Melaka berlaku, tetapi disekat oleh angkatan perang Melaka. Pihak Siam ditewaskan tidak jauh dari Muar.

1456 - Tun Perak dilantik menjadi Bendahara atau Perdana Menteri dengan gelaran Bendahara Paduka Raja. Beliau menjadi terkenal kerana pentadbiran yang baik dan bertanggungjawab dalam memajukan Melaka. Beliau berkhidmat di bawah empat Sultan dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Melaka ke mercu kekuasaannya di Kepulauan Melayu.

1458 - Sultan Mansur Shah menaiki takhta. Maharaja China menghantar Laksamana Cheng Ho yang membawa Puteri Hang Li Po dan dikahwinkan dengan Baginda. Sultan Mansur Shah juga menghantar Tun Perpateh Puteh dengan segolongan pengiring ke negeri Cina untuk mengiring Hang Li Po.

1477 - Sultan Mansur Shah mangkat dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488) menaiki takhta pada umur 15 tahun. Baginda merupakan seorang yang tegas dalam melaksanakan tugasnya.

1488 - Sultan Alauddin diracun mati di Pagoh. Kemudian Sultan Mahmud Shah (1488-1511) menaiki takhta atas jasa Tun Perak dan juga Hang Tuah.

1498 - Tun Perak meninggal dunia.



Kurun Ke-16

1500 - Tun Mutahir, sepupu Tun Perak, dilantik sebagai Bendahara bergelar Bendahara Seri Maharaja dan menjadi bendahara yang paling berkuasa di kalangan para pembesar Kesultanan Melaka.

1509 - Diego Lopez de Sequiera dengan 18 buah kapal dari Angkatan diRaja Portugal tiba di Melaka. Mereka merupakan orang Eropah pertama yang tiba di rantau Asia Tenggara. Atas sebab perselisihan faham, angkatannya diserang oleh Melaka dan 20 anak kapalnya ditahan oleh orang tempatan.

1510 - Bendahara Tun Mutahir dan keluarganya dibunuh atas titah Sultan Mahmud Shah kerana beliau enggan menyerahkan anaknya Tun Fatimah kepada baginda. Menyedari kesilapannya, Sultan Mahmud Shah turun takhta untuk sementara waktu dan digantikan oleh anaknya, Sultan Ahmad Shah.

1511 - Alfonso D’Albuquerque, wizurai Portugis di Goa, tiba di Melaka pada 10 Ogos dan membuat permintaan membina sebuah markas Portugis di Melaka tetapi permintaannya ditolak oleh sultan. Selepas 10 hari mengepung, pihak Portugis berjaya menawan Kota Melaka pada 24 Ogos. Semenjak itu, Portugis memerintah Melaka selama 130 tahun.

1512 - Albuquerque kembali ke Goa pada bulan Januari selepas menyiapkan “A Famosa”, kota kubu yang mempunyai ketinggian menara 5 tingkat. Kemudian Sultan Mahmud Shah menyerang Portugis di Melaka.

1513 - Patih Unus, seorang pahlawan Jawa yang kemudiannya menjadi Sultan Demak di Sumatera, menyerang Portugis di Melaka.

1516 - Laksamana Hang Nadim, anak kepada Hang Tuah, menyerang Melaka.

1518/19 - Askar-askar Sultan Mahmud Shah mengepung bandar Melaka selama 3 bulan.

1523 - Sultan Mahmud Shah menyerang Melaka.

1524 - Laksamana Hang Nadim mengepung Melaka dan memotong bekalan makanannya.

1537 - Serangan orang Acheh yang pertama ke atas Portugis di Melaka.

1545 - Paderi Francis Xavier tiba di Melaka buat pertama kalinya. Selepas itu beliau telah melawat Melaka sebanyak 5 kali.

1551 - Gabungan Johor, Japara dan Perak telah menyerang Melaka dan mengepungnya selama 3 bulan.

1553 - Paderi Francis Xavier mati di Pulau Sanction berdekatan dengan Canton, Cina dan dikebumikan di Gereja St. Paul. Selepas 9 bulan, mayatnya telah dialih dan dikebumikan di Goa.

1567/68 - Dengan pertolongan Johor, Acheh menyerang kubu Portugis di Melaka. Namun, sekali lagi mereka telah dikalahkan.

1571 - Acheh membuat percubaan untuk menyerang Portugis di Melaka, tetapi percubaan mereka sekali lagi gagal kerana ribut taufan yang melanda.

1575 - Japara telah menyerang kubu Portugis di Melaka.

1585 / 86 - Johor telah menyerang Melaka.

1588 - Pelawat Inggeris yang pertama bernama Ralph Ritch telah tiba di Melaka.

1597 - Belanda menyerang Melaka.



Kurun Ke-17


1606 - Gabungan Belanda dan Johor menyerang kubu pertahanan Portugis di Melaka. Walaupun begitu, pasukan bantuan askar Portugis yang tiba tepat pada masanya dari Goa dapat menyelamatkan Melaka.

1615 / 16 - Acheh melancarkan serangan sekali lagi ke atas Melaka.

1628 / 29 - Acheh berkuasa ke atas Melaka selama 8 bulan sebelum berundur.

1636 - Kapal Belanda memusnahkan kapal-kapal Portugis di pelabuhan Melaka.

1641 - Belanda dan orang Melayu Johor sekali lagi menyerang. Selepas pertempuran yang sengit, Portugis diarahkan untuk menyerah kalah. Belanda kemudian memerintah Melaka selama 154 tahun.

1645 - Tokong Cheng Hoon Teng telah dibina oleh Ketua orang Cina, Lee Wei King. Ia adalah tokong tertua yang masih wujud lagi di Malaysia.

1645 / 70 - Perang dalaman berlaku antara Belanda dengan Naning

1650 - Stadthuys atau “Rumah Negeri”, tempat tinggal bagi Gabenor Belanda yang juga menjadi pusat pentadbiran telah dibina.



Kurun Ke-18


1710 - Gereja St. Peter, sebuah Gereja Kristian di Malaysia dibina oleh Belanda. Ia mempunyai reka bentuk gabungan Timur dan Barat.

1753 - Gereja Christ siap dibina.

1756 - Orang Bugis yang diketuai Oleh Daing Kamboja, menyerang Melaka.

1784 - Raja Haji telah mendarat di Melaka tetapi kemudiannya dibunuh.

1795 - British mengambil alih Melaka daripada Belanda.



Kurun Ke-19


1795 1806 - British membuat rombakan terhadap segala tinggalan Portugis di Melaka. Meraka telah merancang untuk memindahkan pusat perdagangan dan populasi ke Pulau Pinang untuk melemahkan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan.

1795 1808 - Ketibaan Stamford Raffles menyelamatkan Melaka daripada kejatuhan yang teruk.

1795 1818 - Dengan berakhirnya Perang Napoleon, Melaka kembali kepada pemerintahan Belanda di bawah perjanjian Venice.

1795 1819 - Sultan Hussain Mohammad Shah dari Johor menyerahkan Singapura kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris. Kemudian makam sultan diletakkan di kawasan Masjid Tengkera.

1795 1824 - Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London meletakkan Melaka di bawah pemerintahan British.

1795 1826 - Perjanjian Selat ditandatangani, yang mana Pulau Pinang, Singapura dan juga Melaka di jadikan Negeri-negeri Selat yang berada dalam sistem pentadbiran yang sama.

1795 1867 - Pentadbiran Negeri-negeri Selat dipindahkan daripada Gabenor - ketua jabatan di India kepada Pejabat Kolonial di London dan Melaka menjadi tanah jajahan British.

1795 1895 - Penanaman getah secara ladang dilakukan oleh Tan Chay Yan di Bukit Lintang, Melaka.



Kurun Ke-20


1904 - Permaisuri Victoria datang untuk memperingati Jubli Intan Seri Paduka Baginda

1942 - Jepun menjajah Melaka.

1945 - Melaka telah dikembalikan kepada pemerintahan British selepas Jepun menyerah kalah kepada British di Singapura.

1948 - Komunis menyerang dan menguasai Malaya selama 14 hari. Pihak British mengisytiharkan darurat dan situasi ini berakhir pada tahun 1960.

1956 - Perisytiharan Hari Kemerdekaan dibuat oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaya yang pertama di Padang Banda Hilir (Padang Pahlawan), Melaka pada 20 Februari. Dalam tahun yang sama, Melaka menjadi sebahagian daripada Persekutuan Tanah Melayu sebagai negara merdeka.

1957 - Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Komisioner Residen British, H.G. Hammet menyerahkan dokumen kemerdekaan kepada gabenor tempatan yang pertama.

1963 - Pembentukan Malaysia pada 16 September. Melaka menjadi sebahagian daripada Malaysia. Singapura, Sabah dan Sarawak juga menyertainya.

1989
- Melaka telah diisytiharkan sebagai Bandaraya Bersejarah pada 15 April.

Paparan Terbaik menggunakan Mozilla Firefox 3.5 ke atas, Google Chrome dan Safari dengan resolusi 1366 x 768


Hakcipta Terpelihara 2024@Kerajaan Negeri Melaka
Portal Melaka Versi 6.0, dibangunkan oleh Bahagian Teknologi Maklumat Dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Melaka

  • Tarikh Kemaskini: 24 April 2024 
Pelawat: 0009551788 | Statistik